KUALA
LUMPUR: Manfaat laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook,
Friendster dan Myspace bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim serta
bertanya khabar sedangkan keburukan ‘ditawarkan’ lebih banyak.
Pengerusi
Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi
Abdul Malek berkata, antara keburukan menanti ‘penagih’ laman web itu
merangkumi membentuk sikap lalai, boleh meruntuhkan rumah tangga termasuk
mempengaruhi remaja berzina.
“Rumah Iman
kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja perempuan yang terjebak dalam
gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan
kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa
perbuatan zina.
“Facebook
itu juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang
selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web sosial itu, sekarang ada
pula kejadian seorang pelajar dipukul kerana Facebook,” katanya yang dihubungi
semalam.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro Isnin lalu
mengenai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang
cedera di mata dan dahi akibat dipukul rakan sekelas selepas dituduh menceroboh
laman sosial facebook milik kawannya.
Dalam
kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Aiman Asyraf, 17, dibelasah teruk
kerana dikatakan menceroboh akaun Facebook milik rakannya kerana mengetahui
kata laluan.
Hanafi
berkata, walaupun kejadian itu boleh dianggap terpencil namun ia jelas
menunjukkan akibat buruk daripada penggunaan laman web sosial.
“Kalau di
jabatan kerajaan atau swasta pula, ketagihan melayari laman web sosial ini
menyebabkan produktiviti menurun dan pendapatan bulanan sepatutnya diperoleh
daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan sebenarnya tidak
berkat.
“Facebook
baru diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu saja tetapi kesannya menyebabkan
kita lalai dan ia boleh menjurus ke arah keghairahan maksiat. Kalau sekadar
mahu bertanya khabar atau mengeratkan silaturahim, banyak lagi medium lebih
baik boleh digunakan,” katanya.
Sementara
itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah
kenyataan sebelum ini berkata, kematangan berfikir penting bagi setiap individu
yang menggunakan media baru seperti laman web sosial untuk menilai kebaikan dan
keburukan setiap aktiviti di alam maya.
“Kewujudan
laman web sosial dapat mengeratkan tali silaturahim, mempertemukan sahabat lama
terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara
paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan
petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan pengguna laman web
rangkaian sosial ini.
“Tetapi
tidak dinafikan terdapat penyalahgunaannya oleh segelintir masyarakat.
Segelintir pihak menggunakannya sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati
dan ia bukan cara terbaik kerana penyalahgunaan laman web sosial tidak dapat
menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.
Menurutnya,
apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke
atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa
padah kepada diri dan orang lain.
0 comments:
Post a Comment