Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan modal insan dan penggunaan Internet, kerajaan telah melancarkan Projek 1BestariNet, yang merupakan inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menerajui transformasi pendidikan dengan menyediakan teknologi pembelajaran terbaik kepada semua sekolah di Malaysia.
Pihak YTL Communications telah diberi
amanah oleh pihak kerajaan untuk merealisasikan Visi 1BestariNet untuk
menjana perubahan dalam platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan
jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar.
Di bawah projek 1BestariNet, 10,000 buah
sekolah akan dilengkapi dengan perkhidmatan Internet jalur lebar tanpa
wayar (wireless broadband) berkelajuan tinggi iaitu Yes 4G, dan sebuah
Persekitaran Pembelajaran Maya iaitu frog Virtual Learning Environment
(VLE) untuk pengajaran dan pembelajaran tanpa batasan.
Kebanyakan generasi muda hari ini amat
arif dalam penggunaan Internet dan banyak masa diluangkan dengan
penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan YouTube.
Budaya dan cara mereka memproses maklumat sering berubah dan guru perlu
mengambil langkah seiring dengan perubahan ini. Inilah masanya untuk
kita sebagai guru membabitkan diri dalam dunia pelajar melalui frog VLE.
Melalui projek 1BestariNet ini, cara penyampaian pengajaran dan
pembelajaran pasti akan berubah, sekaligus meningkatkan minat belajar
dalam kalangan generasi muda ini.
Dalam dunia yang penuh dengan teknologi,
pengajaran dan pembelajaran tidak lagi terhad kepada pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Kehadiran frog VLE dapat membantu guru-guru
berkomunikasi dan berinteraksi dengan para pelajar dengan lebih
berkesan bukan sahaja di dalam kelas, malah di mana sahaja mereka
berada. Apa yang diperlukan hanyalah sebuah komputer, pelayar (browser),
dan sambungan Internet. Menerusi projek 1BestariNet ini, setiap guru
akan diberi satu ID Pengguna yang unik dan pelbagai fungsi. Para guru
boleh menggunakannya untuk:
- Mengakses platform frog VLE
- Mengakses emel peribadi Yes
- Mengakses semua enjin maya pendidikan yang dijana oleh Google yang bertaraf antarabangsa seperti Khan Academy dan YouTube Education.
Dengan ini, setiap guru dan pelajar akan
mempunyai akses kepada pendidikan bertaraf dunia yang boleh dicapai di
dalam dan di luar sekolah pada bila-bila masa, di mana jua.