Showing posts with label Fakta. Show all posts
Showing posts with label Fakta. Show all posts
Posted by Unknown
| 07:34
Fungsi satelit dalam kehidupan

Satelit turut digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat .
Mungkin ada di antara kita yang faham mengenai satelit tetapi tidak semua yang sedar akan fungsi sebenar satelit di dalam kehidupan seharian kita.
Satelit lebih banyak dikaitkan dengan bidang penyiaran dan telekomunikasi tetapi fungsi atau aplikasi sebenar satelit telah wujud di angkasa lepas sejak berdekad lalu.
Teknologi satelit terbahagi kepada tiga iaitu pandu arah dan penentu kedudukan, penderiaan jauh dan juga komunikasi.
Pandu arah dan penentu kedudukan adalah salah satu aplikasi satelit yang telah berjaya menghasilkan peningkatan dalam produktiviti dan kejituan sebilangan besar industri.
Sistem Penentukedudukan Global (GNSS) merupakan rangkaian satelit yang memancarkan isyarat radio frekuensi yang mengandungi maklumat berkenaan masa dan data jarak yang boleh diambil oleh penerima, dan membolehkan pengguna untuk menentukan lokasi mereka dengan tepat di mana sahaja di seluruh dunia.
NAVSTAR Global Positioning System (GPS) milik Amerika Syarikat adalah antara satelit navigasi yang wujud dan kini alat penerima GPS telah dimuatkan ke dalam kereta, telefon bimbit, kapal, pesawat, peralatan pembinaan, peralatan pembuatan filem, mesin pertanian, bahkan komputer untuk tujuan navigasi, penentu kedudukan, penjejakan dan pemetaan.
Aplikasi dari sistem GNSS dalam bidang pandu arah dan penentu kedudukan ini adalah sangat luas .
Aplikasinya merangkumi operasi mencari dan menyelamat bagi kapal laut atau pesawat yang terkandas sama ada di dalam hutan belantara, di gunung-ganang, di tengah lautan atau di mana sahaja di muka bumi ini.
Melalui sistem GNSS ini, amaran kecemasan dan data lokasi akan dihasilkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan dan menentukan kedudukan isyarat mercu suar kecemasan pada pesawat tersebut.
Kedudukan peristiwa kecemasan dan maklumat lain yang berkaitan akan disampaikan kepada Pusat Perhubungan Mencari dan Menyelamat yang berkenaan pada kawasan kecemasan yang terlibat.
Selain mencari dan menyelamat, bidang pandu arah dan penentu kedudukan juga membolehkan pengesanan pelbagai kenderaan (udara, laut dan darat) yang mana melibatkan penggunaan GPS dengan komunikasi satelit dua hala bagi mengesan kenderaan dan menjejakinya di mana jua ia berada.
Ini sangat penting bagi mana-mana organisasi pengangkutan awam yang melibatkan penjadualan dan perancangan laluan, dan pada masa yang sama memastikan pengangkutan awam berjalan mengikut jadual.
Pandu arah satelit juga boleh digunakan dalam kegiatan riadah seperti pengembaraan berjalan kaki bagi orientasi dalam persekitaran yang tidak dikenali.
Selain itu, kegunaan tersebut juga termasuk mencari kawasan yang subur untuk memancing, pandu arah sewaktu menaiki bot ketika keadaan tahap penglihatan rendah dan perkhidmatan berasaskan lokasi dengan menggunakan telefon bimbit untuk mencari restoran, pawagam, stesen petrol atau tempat lain yang menarik.
Selain pandu arah dan penentu kedudukan, teknologi satelit juga meliputi penderiaan jauh atau lebih dikenali dengan remote sensing.
Remote sensing adalah sains bagi mendapatkan maklumat permukaan bumi tanpa menyentuh objek (bumi) tersebut).
Perladangan tepat (precision farming) ialah suatu teknologi baru yang mana peladang boleh membuat penyesuaian bagi kepelbagaian dalam ladang bagi ciri-ciri seperti kesuburan tanah dan populasi rumput rumpai.
Perladangan tepat menggunakan sistem (GPS, terdiri daripada 24 satelit yang memancarkan isyarat yang disambut oleh alat terima pengguna untuk menetapkan lokasi penerima berserta sistem maklumat geografi (GIS) untuk mengumpul, menyimpan, melihat, dan menganalisis amaun data yang banyak.
Data tersebut kemudiannya ditukar kepada bentuk ilmu untuk digunakan dalam membuat keputusan pengurusan perladangan yang lebih wajar bagi pengeluaran hasil tanaman.
Dengan maklumat berkenaan dan penderia dalam satelit, peralatan perladangan mampu memantau hasil tanaman dan memandu aplikasi input hasil tanaman seperti baja dan racun rumpai.
Di samping mempertingkat hasil tanaman, perladangan tepat mempunyai potensi untuk mengurangkan kos melalui aplikasi input tanaman yang lebih cekap dan berkesan.
Kelebihan utama imej satelit yang diperoleh melalui penderiaan jauh ialah pandangan data berasas wilayah atau sinoptik.
Pandangan perspektif wilayah itu dipertingkatkan lagi dengan menggabungkan secara digital beberapa imej yang dikumpulkan oleh satelit yang sama, untuk meliputi kawasan wilayah yang lebih luas.
Satu lagi kelebihan ialah aspek multitemporal imej satelit tersebut, yang boleh digunakan untuk memantau perubahan pada permukaan Bumi atau mengemas kini suatu set data sedia ada.
Dengan adanya kelebihan-kelebihan tersebut, imej satelit telah digunakan dengan meluas untuk tujuan pemetaan.
Pemetaan hutan, tanah, pertanian, atau mana-mana pemetaan lain kesemuanya memerlukan data yang lengkap dan berterusan yang diperoleh daripada satelit.
Pertanian
Pertanian ialah satu lagi bidang yang menggunakan imej satelit untuk mengoptimumkan penghasilan dan meminimumkan kos.
Data imej satelit juga boleh digunakan oleh perancang, pembuat dasar dan petani dalam membuat keputusan yang berkesan bagi menjamin bekalan air yang stabil untuk makanan dan persekitaran.
Melaluinya, dapat ditentukan: tempat terdapatnya air dalam lembangan sungai pada masa-masa tertentu dalam setahun; tempat yang air sampai atau tidak sampai kepada tanaman dalam suatu sistem pengairan; dan tindak balas antara air dengan tanaman, dalam vegetasi semula jadi dan kawasan pertanian.
Bantuan Kemanusiaan
Bantuan kemanusiaan terdiri daripada tindakan yang diambil bagi meringankan penderitaan akibat bencana alam seperti banjir, kebakaran hutan, ribut taufan, gempa bumi, tsunami dan kemarau, dan bencana buatan manusia seperti peperangan, dengan akibat perpindahan populasi dan pergerakan pelarian.
Oleh kerana organisasi kemanusiaan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi bantuan dalam bencana alam dan buatan manusia yang pelbagai, sering di kawasan yang tidak dikenali dan keadaan yang rumit, serta turut melibatkan jumlah bantuan kemanusiaan yang ramai terutama daripada agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, ketenteraan, serta organisasi antarabangsa yang lain; maka keperluan maklumat geografi yang tepat dan relevan adalah sangat penting.
Kajian atmosfera
Kimia atmosfera mempengaruhi kesihatan manusia, cuaca dan pengeluaran makanan. Ia juga mempengaruhi cara kita melihat dunia, melalui impaknya kepada kuasa penglihatan. Kimia yang ada dalam udara memberi kesan kepada kita dengan setiap nafas yang diambil. Zarah-zarah terapung yang terbentuk daripada tindak balas fasa gas mempengaruhi amaun tenaga suria yang sampai ke permukaan bumi.
Meteorologi.
Terdapat dua jenis satelit cuaca, dikenali melalui ciri orbit mereka.
Yang pertama dikenali sebagai Polar Operational Environmental Satellites (POES) yang mengelilingi Bumi pada orbit kutub (dari kutub ke kutub) dalam masa lebih kurang 100 minit.
Sementara itu, Geostationary Operational Environmental Satellites (GOES) mengelilingi Bumi pada orbit geopegun, terletak lebih kurang 36,000 km tingginya dari Bumi, dan bergerak pada kelajuan yang sama dengan kelajuan Bumi berpusing.
Dengan meteorologi satelit, ahli meteorologi dan pendidik boleh memerhati fenomena jangka pendek di sekeliling dunia 24 jam sehari.
Selain berfungsi sebagai penentu kedudukan dan penderiaan jauh, antara fungsi utama lain satelit ialah sebagai alat komunikasi. Satelit komunikasi merupakan sebahagian besar daripada kehidupan harian manusia moden, sebagai salah satu dari medium pertukaran maklumat ke seluruh dunia.
Keunikan satelit sebagai satu medium komukasi ialah kerana sifatnya yang berada jauh tinggi dari permukaan bumi (contoh: 36,000km dari muka bumi untuk satelit penyiaran TV seperti Measat (Astro), lantas dapat memberi liputan yang luas dan dapat menjadi perantara di antara dua kawasan yang jauh di muka bumi.
Antara fungsi-fungsi utama satelit komunikasi adalah seperti berikut:
Penyiaran
Kejayaan terbesar satelit dalam bidang komersial ialah dalam perkhidmatan satelit televisyen.
Telefon
Satelit komunikasi juga memberi perkhidmatan telefon ke kawasan-kawasan terpencil yang tidak mempunyai capaian telefon awam atau telefon mudah alih selular seperti di tengah laut (untuk perkapalan, perikanan dan ketenteraan), dan di tengah hutan.
Perkhidmatan Satelit Tetap (FSS)
Antara perkhidmatan yang menggunakan satelit komunikasi untuk tujuan komunikasi dalam kategori ini ialah penggunaan kredit kad di stesen-stesen minyak (lihat piring antenna besar di stesen minyak), liputan langsung siaran TV, dan juga perkapalan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Posted by Unknown
No comments | 03:55
Pernahkah anda terjumpa anak kecil yang tidak suka bermain. Mungkin tidak.

Sisi positif fakta ini adalah waktu bermain sebenarnya peluang untuk mereka belajar. Menerusi kegiatan ini, anak-anak belajar mengenali diri, persekitaran, orang lain dan dunia di sekeliling mereka.
Menyedari anak-anak masa kini membesar dalam lingkungan dunia teknologi maklumat yang tiada sempadan, misi ibu bapa dalam hal-hal berkaitan keibubapaan tidak pernah berubah, cuma konteks saja yang berbeza.


Ibu bapa kini berdepan cabaran yang lebih maju, moden dan cukup berbeza dengan suasana mereka dibesarkan suatu ketika dulu. Mereka perlu mempertimbangkan arah tuju dunia masa kini dan cara terbaik mempersiapkan anak-anak ke arah itu.

Dalam dunia teknologi maklumat, segala-galanya berlaku secara talian terus - dunia yang menyediakan gerbang kandungan mengumpan dan menyeronokkan.

Di situlah rakan-rakan dan juga kerja-kerja rumah diselesaikan.

Ketika ibu bapa perlu menyeimbangkan antara pengalaman berlandaskan kenyataan dan dunia digital, mereka perlu mengenal bahawa teknologi berkembang setiap hari dengan kesan yang jelas ke atas cara anak-anak belajar.
Jika dikaji, terdapat ratusan ‘games’ dan perisian permainan untuk kanak-kanak di pasaran.

Sumbernya cukup mudah, cari saja di kedai buku mahupun kedai permainan, malah ia boleh di muat turun percuma selain berbayar.

Langkah pertama dalam memilih perisian pendidikan untuk anak menimbangkan tujuannya.

Program pendidikan perlu sesuai dengan usia dan dari segi pembangunan mental. Ia perlu mencerminkan pemahaman terhadap keperluan anak-anak dan perlu mendorong mereka untuk menyumbang berdasarkan pengalaman mereka sendiri.

Perisian dengan rekaan grafik, warna dan bunyi yang menarik akan merangsang deria anak-anak dan hingga mula melahirkan minat. Perisian yang memerlukan tahap interaksi anak-anak yang tinggi, memberikan tindak balas yang terancang dan menyediakan pilihan yang memerlukan anak-anak untuk membuat pilihan akan menggalakkan minat untuk meneroka, imaginasi dan menyelesaikan masalah. Dan perisian yang mencerminkan dan dibangunkan berdasarkan apa yang anak-anak tahu akan mengekalkan minat mereka dan menggalakkan penggunaannya secara berulang.

Permainan bercorak pendidikan dan perisian seharusnya menyokong kurikulum yang diajar di sekolah. Ia tidak menjadikan guru-guru atau sistem sekolah itu berlebihan. Sebaliknya, jika digunakan sebaiknya permainan komputer dan perisian merangsang persekitaran pembelajaran dan menyediakan konteks motivasi untuk pembelajaran.

Teknologi pendidikan juga boleh digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak mencipta kandungan berbanding hanya sekadar menggunakannya.

Bagaimanapun, tidak semua teknologi pendidikan bersesuaian untuk anak-anak. Permainan komputer dan perisian berkonsep pendidikan dan hiburan (edutainment) tertentu tidak menambah kepada pengalaman pendidikan seorang kanak-kanak.

Adalah penting untuk ibu bapa dan guru melihat previu semua perisian, sebelum membuat pembelian.

Banyak juga program berbayar yang menawarkan waktu percubaan sebelum pelanggan komited untuk membeli. Terdapat juga banyak forum secara talian terus yang menawarkan ulasan kepada pelbagai jenis permainan pendidikan dan perisian di pasaran.

Sumber : BERITA HARIAN